Sunday 2 December 2012

Kelewatan SULIHH bukan berpunca dari Kerajaan Negeri


warta darul aman
ALOR SETAR - Kelewatan Projek Sungai Limau Hidrokarbon Hub (SULIHH) di Yan membabitkan pelaburan sebanyak RM35 bilion (AS$10 bilion) bukan berpunca daripada Kerajaan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga, Industri dan Pelaburan, YB. Dato’ Ir. Amiruddin Hamzah berkata, sebaliknya syarikat induk Merapoh Resources Corporation Sdn Bhd masih gagal mendapatkan dana daripada syarikat baru setelah pelabur sebelum ini menarik diri.
“Walaupun buat masa ini, belum ada perkembangan baru yang positif. Namun, SULIHH bukannya terkubur, Kerajaan Negeri masih memberi peluang kepada Merapoh untuk mendapatkan dana baru agar projek ini dapat dilaksanakan setelah semuanya sempurna,” ujarnya.

Amiruddin memberitahu, pihaknya belum berputus asa dan tidak berhasrat membatalkan pelaksanaan SULIHH, sebaliknya memberi masa kepada Merapoh untuk menjalin kerjasama baru.

“Sementara menunggu projek itu dilaksanakan, kita bukannya duduk diam. Sebaliknya sedang berusaha memuktamadkan perjanjian persefahaman baru bersama syarikat tempatan lain di lokasi sama,” jelasnya.

Menurutnya, pihaknya dijangka memeterai perjanjian persefahaman (MoU) pada bulan Mac 2012 bagi menjalankan projek membabitkan Janakuasa Elektrik di Pulau Bunting dan gas asli di Kerpan.

“Jangan kaitkan projek ini dengan SULIHH, ianya dua projek berbeza. SULIHH adalah projek penapisan minyak dan kita akan dahulukan projek gas asli ini sebagai alternatif,” katanya.

Beliau menjelaskan, sekiranya projek itu dilaksanakan terlebih dahulu, ia juga mampu merancakkan ekonomi.

“Siapa tahu, selepas projek ini berjalan, ada pelabur berminat menjalin kerjasama dengan Merapoh bagi pelaksanaan SULIHH pula,” ujarnya.

Amiruddin berkata, nilai pelaburan dan peluang pekerjaan yang ditawarkan projek ini hampir menyamai SULIHH dan dijangka dapat melonjak ekonomi Kedah.

“Pelbagai alternatif lain turut dibincangkan dan syarikat pelabur juga boleh menggunakan infrastruktur sedia ada di kawasan perindustrian berat di Gurun, sekiranya SULIHH masih belum menampakkan perkembangannya,” jelasnya.

SULIHH ialah projek penapisan minyak di kawasan laut yang ditambak di Sungai Limau, Yan. Minyak mentah dari Timur Tengah akan diimport dan diproses untuk dieksport semula ke China dan Negara Asian lain apabila loji siap sepenuhnya.

Kerajaan Negeri menyasarkan meraih sebanyak RM400 juta setahun daripada projek itu yang dijadual siap menjelang tahun 2014. Projek ini turut menawarkan pekerjaan kepada 30,000 penduduk Kedah.

Majlis pecah tanah yang dijadual Oktober 2009 lalu beberapa kali tertangguh kerana laporan kesan terhadap alam sekitar (EIA) dikemukakan pelabur kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak lengkap.

Sebelum ini, Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak turut menyatakan antara kelewatan projek berpunca daripada laporan EIA, selain salah satu pelabur asing, SK Engineering and Construction Ltd dari Korea menarik diri.

SULIHH ditunjangi dua syarikat tempatan iaitu Merapoh Resources Corporation Sdn Bhd dan Hijjaz Refinery Sdn Bhd, namun Hijjaz juga telah menarik diri.
Hong Kong Beijing Star Ltd dan Winson Investment Ltd adalah rakan kongsi Merapoh yang bertanggungjawab membawa masuk dana, namun sehingga kini masih gagal berbuat demikian
Source : Warta Darul Aman, 15 Mac 2012

Sumber : http://www.investkedah.com.my/index.php?/eng/Kedah-Investment-Centre/News/Kelewatan-SULIHH-bukan-berpunca-dari-Kerajaan-Negeri

No comments:

Post a Comment